fbpx

Jalan Jiwa Murni dinaik taraf sebagai jalan utama ke pedalaman Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan KKDW bersama Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

KUCHING – Jalan-jalan yang dibina menerusi Projek Jiwa Murni di Sarawak yang telah rosak akibat dilalui lori balak akan dinaik taraf pada tahun ini sebagai jalan utama untuk ke kawasan pedalaman.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata projek itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama-sama Kerajaan Sarawak dan dijangka siap sebelum perayaan Krismas tahun ini.

“Ia mesti disiapkan sebelum 25 Disember, ini kita lakukan bukan atas soal perayaan tetapi juga soal musim tengkujuh yang akan dialami di Sarawak jika kita lakukan selepas itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan KKDW bersama Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata jalan-jalan yang dijangka dinaik taraf itu adalah sepanjang 578 kilometer dengan kebanyakannya di wilayah utara iaitu Miri, Limbang dan Belaga.

“Kita akan memberi keutamaan kepada jalan-jalan yang tidak lagi dilalui oleh kenderaan berat pembalakan dan ini penting untuk dinaik taraf sebagai jalan utama untuk ke kawasan pedalaman.

“Manakala jalan-jalan yang masih aktif dilalui oleh pengangkutan pembalakan ini kita akan berikan sebagai keutamaan kedua,” katanya.

Selain itu, Zahid berkata projek-projek infrastruktur yang dirancang bagi kawasan luar bandar Sarawak juga akan dipastikan dilaksanakan iaitu projek bekalan elektrik dan air termasuk pendidikan prasekolah serta beberapa projek lain yang berkaitan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI