fbpx

Kadar kemalangan turun hingga 80 peratus tahun lepas – Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Ops Cegah 2023 di Menara Perkeso, hari ini. FOTO MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Rekod penurunan kadar kemalangan perjalanan dan industri telah mencatatkan penurunan sehingga 80 peratus ekoran pelaksanaan Ops Cegah sepanjang tahun lepas.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, 26 majikan telah terkeluar dari senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso dalam kategori kemalangan perjalanan.

Jelasnya, penurunan kadar kemalangan dilihat menurun antara 12 peratus hingga 80 peratus pada tahun lepas berbanding tahun 2021.

“Dalam kalangan majikan yang masih dalam senarai pula, 22 peratus daripada mereka telah menunjukkan penurunan kadar kemalangan perjalanan berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi kategori kemalangan industri, seramai 32 majikan telah berjaya keluar dari senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Ops Cegah 2023 di Menara Perkeso, hari ini.

Tambah Mohammed Azman, ‘soft approach’ menerusi Ops Cegah ini diharap akan dapat membentuk budaya pencegahan di setiap perusahaan di negara ini dan mampu meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja.

“Seperti yang sering saya tekankan, usaha pencegahan kemalangan ini bukanlah suatu kos, sebaliknya merupakan suatu pelaburan yang akan menguntungkan majikan dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Bertemakan ‘Kebersamaan Mengurangi Risiko Kecederaan dan Kematian Pekerja’, Ops Cegah yang dilaksanakan pada tahun kedua ini akan berjalan selama dua minggu bermula hari ini hingga 22 Mac.

Sepanjang tempoh ini, lawatan akan dibuat ke lebih 1,000 premis majikan seluruh negara bagi bertemu pengurusan tertinggi syarikat-syarikat yang merekodkan kemalangan tertinggi.

Ops Cegah tahun ini dilaksanakan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Polis Diraja Malaysia, dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia dan disokong oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tujuan utama Ops Cegah adalah untuk menyampaikan mesej mudah mengenai kemalangan pekerjaan dan perlu dipandang serius semua pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI