SHAH ALAM – Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen dan menipu Persatuan Ibu bapa dan guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Escot di Hulu Selangor sebanyak RM285,000, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, M. Sivanesan, 35, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Sivanesan didakwa telah memperdayakan PIBG SJKT Ladang Escot sehingga menyerahkan RM285,000 yang dilakukan pada 24 Ogos 2016 hingga 26 Oktober 2016 di sebuah cawangan bank di Sungai Buloh dekat sini.
Sivanesan yang kini seorang pembantu sebuah kuil di Johor turut dituduh menggunakan suatu dokumen palsu iaitu Surat Setuju Terima Jabatan Kerja Raya dengan perbuatan dilakukan pada 26 Oktober 2016 di SKJT tersebut.
Kesemua kesalahan itu dilakukan untuk tujuan pembinaan satu blok bangunan yang mengandungi tiga bilik darjah.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan bersama seorang penjamin serta syarat tambahan lapor diri di pejabat SPRM setiap awal bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes pada 12 April ini. – KOSMO!ONLINE