KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi memohon agar kerajaan meluluskan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Ahli Parlimen Bera itu, bantuan RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun KWSP yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini adalah satu usaha murni, namun ia bagi kegunaan pada hari pencen nanti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan kerana memberikan tambahan caruman sebanyak RM500 kepada pencarum B40.
“Namun keperluan rakyat adalah pada hari ini. Rumah hendak kena lelong, anak hendak masuk universiti, mereka mereka memerlukan wang pada masa sekarang bukan 10 atau 15 tahun lagi,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023.
Tambah beliau, ketika ini adalah waktu terbaik untuk mengeluarkan simpanan KWSP kerana keadaan banjir di beberapa buah negeri. Keperluan kecemasan terutamanya dari segi kerosakan barangan, untuk memperbaiki peralatan serta peniaga-peniaga mikro dan kecil memerlukan modal pusingan baharu.
“Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan dahulu sewaktu Pandemik Covid-19, membantu mereka untuk memulakan kehidupan baru. Jadi saya harap kerajaan mempertimbangkan cadangan dan keluhan daripada rakyat yang memerlukan pengeluaran KWSP.
“Sekali lagi saya mengulangi laporan Tinjauan Ekonomi Bank Dunia, pengeluaran KWSP terbukti memberikan kesan yang baik kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE.