PETALING JAYA – Kira-kira 50 orang mualaf mengambil kesempatan berkhatan secara percuma menerusi program ‘Sunathon Abang Mualaf’ anjuran Pertubuhan Akademi Al Bayan di MyMedikal Healthcare, Bandar Puchong Utama semalam.
Pengasas dan Pengarah AlBayan Global Sdn. Bhd., Ustaz Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, program tersebut adalah sebagai tanda meraikan saudara baru yang wajar mendapat perhatian masyarakat Islam setempat.
Jelas beliau, kebanyakan mualaf terbabit terdiri daripada individu berusia lingkungan 7 hingga 72 tahun dan program itu diadakan menerusi sumbangan orang ramai kepada Pertubuhan Akademi Al Bayan.
“Kita memanfaatkan wang berkenaan dengan melaksanakan program ini yang membawa objektif utama untuk membantu mualaf kurang berkemampuan sekaligus membiayai kos rawatan berkhatan.
“Bagi golongan dewasa kos untuk berkhatan bermula dari RM500 hingga RM1,000. Disebabkan itu pihak Pertubuhan Akademi Al Bayan bersama MyMedikal Healthcare mengambil tanggungjawab bagi membantu golongan mualaf yang susah,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Nur Mohammad Hadi berkata, Pertubuhan Akademi Al Bayan kini sedang dalam pembinaan pusat pengajian khusus untuk anak-anak mualaf bagi memberi bimbingan kepada mereka yang memeluk Islam.
Sementara itu, bagi seorang mualaf, Arsalam Abdullah, 35, berkata, pada mulanya dia sekadar mahu menemani anak-anaknya, namun terpanggil berbuat hal yang sama kerana seumur hidupnya tidak pernah berkhatan.
“Saya memeluk Islam pada 1 November 2021 dan tidak pernah berkhatan. Tambahan pula kadar bayaran berkhatan bagi orang dewasa agak membebankan.
“Bagaimanapun hari ini (semalam) Pertubuhan Akademi Al Bayan bersama MyMedikal Healthcare dengan mulia hati membantu golongan mualaf yang susah seperti kami.
“Jadi saya rebut peluang bawa anak-anak dan akhirnya terpanggil untuk melakukan berbuat hal yang sama apatah lagi ia adalah sunnah yang sangat dituntut dalam Islam,” katanya hadir bersama dua anaknya, Rashwan Arsalan, 11 dan Rayyan Arsalan, 7.-KOSMO! ONLINE