BANGKOK – Seekor gajah liar dipercayai lapar di daerah Tha Takiap, Thailand berkeliaran di sebatang jalan sehingga menyebabkan sebuah trak terhenti dan haiwan itu seolah-olah ‘naik minyak’ apabila menterbalikkan kenderaan tersebut dengan belalainya kelmarin.
Menurut portal berita Nation of Thailand, insiden itu berlaku di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Khao Ang Rue Nai, timur Bangkok dan dirakam menerusi kamera video sebuah kereta yang melalui jalan sama.
Gajah itu dipercayai lapar dan menyangka terdapat makanan di dalam trak itu.
Seorang lelaki dikenali sebagai Tao yang memandu kereta ketika isterinya merakam video itu berkata, haiwan itu melintas jalan ketika keluarganya dalam perjalanan ke Chonburi.
“Saya tidak percaya seekor gajah liar menggunakan belalainya untuk menolak trak itu di tepi jalan,” katanya.
Tambahnya, semua orang di dalam keretanya menjadi panik apabila kejadian itu berlaku, terutama anaknya.
Bimbang akan keselamatan pemandu trak itu, dia segera menghubungi agensi perlindungan hidupan liar.
Pegawai-pegawai hidupan liar itu kemudian tiba di tempat kejadian dan menghalau gajah itu sebelum membantu pemandu lori trak tersebut keluar dari kenderaannya dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan. – Agensi