fbpx

Tan Cheng Hoe pertahan prestasi Faisal Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL belum menjaringkan sebarang gol buat skuad Gergasi Merah sejak berhijrah dari TFC musim ini.

KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyeru peminat kekal tenang meskipun pemain sayap sensasi, Faisal Halim masih lagi belum menjaringkan gol pada tiga penampilan awal saingan Liga Super musim ini.

Sebagai rekod, momentum cemerlang Gergasi Merah disekat selepas seri 1-1 pada aksi bertemu Sri Pahang di Stadium MB Petaling Jaya kelmarin dengan gol penyamaan dijaringkan oleh kapten pasukan, Brendan Gan pada penghujung perlawanan.

Kata Cheng Hoe, prestasi ­Faisal masih lagi memuaskan kerana sering membantu pasukan khususnya menerusi jentera serangan dan sumbangannya tidak boleh dinilai menerusi ­jaringan gol semata-mata.

“Kita tahu Faisal telah mempamerkan prestasi cemerlang pada musim lepas dengan menjaringkan banyak gol tetapi harus diakui buat masa ini dia masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan.

“Dalam masa yang sama, sumbangannya bersama pasukan sejak beberapa aksi lepas cukup baik khususnya menerusi peluang jaringan yang dia lakukan dan saya yakin dia akan menunjukkan peningkatan serta kualiti pada masa akan datang,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Faisal yang berkelana ke Selangor selepas mewakili Terengganu FC (TFC) tahun lalu percaya apa yang lebih penting buat pasukan adalah untuk melakar keputusan positif berbanding prestasi peribadi.

“Sudah tentu saya mahu menjaringkan gol kerana itulah semangat dan kekuatan saya untuk bermain di atas padang sekali gus memberi kepuasan secara peribadi.

“Saya percaya dengan rezeki, kita ada musim yang sangat ­panjang iaitu sampai Disember, tetapi apa yang penting ketika ini ­ialah Selangor terus kekalkan rekod tanpa kalah,” kata tonggak skuad kebangsaan Harimau Malaya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI