SEBERANG PERAI – Yayasan Infaq Angkasa yang ditubuh sejak 9 Julai 2021 lalu berjaya menyalurkan dana wakaf hampir RM13 juta bagi pembangunan ekonomi rakyat dalam pelbagai sektor di seluruh negara ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, yayasan juga telah mewakafkan dua lot bangunan empat unit bernilai lebih RM1 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Sehingga kini, dana wakaf yayasan terkumpul mencecah RM25 juta dan ini akan diagihkan kepada masyarakat tertentu di negara ini.
“Yayasan mengambil pelbagai langkah proaktif bagi mencapai tujuan tersebut termasuk meningkatkan kerjasama bersama MAINPP dan Majlis Agama Islam Negeri yang lain,” katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Wakaf MAINPP – Yayasan Infaq Angkasa di Bertam Perdana, Kepala Batas, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir menyantuni dan merasmikan bangunan wakaf MAINPP-Yayasan Infaq Angkasa itu.
“Usaha sebegini sebagai langkah progresif dalam mengeratkan amalan berwakaf secara profesional dan berdaya saing berlandaskan hukum syarak.
“Sudah tiba masanya badan korporat lain menjadikan wakaf sebagai satu cara hidup dalam memperkukuhkan ekonomi setempat selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia Madani,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE