PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melancarkan skim jualan pakaian Raya Rahmah untuk golongan B40 di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebuah gergasi industri tekstil terkenal tanah air bersedia membantu menjayakan hasrat tersebut bermula Ramadan ini.
“Pagi tadi saya ditemui dua ‘bos besar’ syarikat itu dan mereka berbincang untuk saya sendiri melancarkan jualan Raya Rahmah dijangka pada 24 Mac ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rahmah Raya di bawah Program Payung Rahmah di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, beliau juga menyerahkan pek berisi barang keperluan harian serta persiapan Ramadan kepada 20 individu dari keluarga B40 sebagai tanda simbolik acara.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, untuk pakaian Raya Rahmah, syarikat gergasi tekstil itu memberi jaminan kualiti pakaian akan dijual nanti itu setanding dengan jenis premium.
Justeru, beliau menyifatkan tawaran dari pemain besar industri itu membantu KPDN untuk dapat menggembirakan rakyat berpendapatan rendah ceria meraikan Hari Raya Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE