SEOUL – Seorang wanita berusia 37 tahun yang dituduh mencederakan tiga orang menggunakan pisau di dalam sebuah kereta api bawah tanah memberitahu polis bahawa dia bertindak demikian kerana seseorang memanggilnya dengan perkataan ‘ajumma’, lapor portal berita Korean Herald semalam.
Tertuduh yang identitinya dirahsiakan, didakwa mencederakan dua wanita berusia dalam lingkungan 60-an dan seorang lelaki berusia 50-an di dalam kereta api bawah tanah menuju ke Stesen Jukjeon di bandar Yongin, Wilayah Gyeonggi.
Menurut polis, ketika berada di dalam kereta api bawah tanah, tertuduh sedang bercakap melalui telefon apabila salah seorang daripada dua wanita itu meminta dia merendahkan suaranya dan memanggilnya ‘ajumma,’ sekali gus menyinggung perasaannya.
Walaupun perkataan, ‘ajumma’, adalah cara biasa untuk merujuk kepada golongan wanita pertengahan usia dan berasal daripada perkataan lebih sopan, ‘ajumeoni’, ia kini membawa konotasi negatif dalam kalangan orang Korea.
Salah seorang mangsa tikamannya telah menjalani pembedahan walaupun tiada kecederaan yang membawa maut dilaporkan.
Pegawai polis telah meminta waran tangkap untuk tertuduh berdasarkan pertuduhan keganasan khas. Dia boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun.
Membawa senjata tajam juga melanggar Perkara 42 Akta Keselamatan Kereta Api walaupun polis tidak meminta pertuduhan untuk kesalahan khusus itu.
Pada 2021, calon Datuk Bandar Seoul ketika itu, Ahn Cheol-soo daripada Parti Rakyat mendapat kecaman apabila merujuk lawannya, Park Young-sun sebagai ‘ajumma’. – Agensi