fbpx

Bandar Ukraine jadi padang jarak dibedil tentera Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR pemandangan dari udara menunjukkan Maryinka menjadi padang jarak akibat bedilan tentera Russia. – TWITTER

LONDON – Bandar Maryinka di rantau Donetsk, Ukraine menjadi padang jarak akibat bedilan oleh tentera Presiden Russia, Vladimir Putin, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Maryinka menjadi medan tempur lama sebelum perang Russia-Ukraine tercetus pada Februari tahun lalu. Tentera Russia pertama kali membedil bandar itu semasa menceroboh Ukraine pada 2014.

Bagaimanapun, pertempuran sengit sejak 24 Februari 2022 menyaksikan tiada satu pun bangunan di Maryinka masih berdiri. Bandar itu sebelum ini didiami seramai 10,000 penduduk.

Tinggalan struktur di Maryinka tidak lagi kelihatan seperti bangunan. Bedilan artileri juga menyebabkan pokok-pokok di bandar itu musnah.

Bedilan kereta-kereta kebal Russia pula meruntuhkan bangunan-bangunan yang rosak, menyebabkan kemusnahan semakin meluas.

Ketua Polis Maryinka, Artem Schus menganggap bandar itu ‘musnah seluruhnya’.

“Hanya tentera Ukraine masih berada di Maryinka selepas semua penduduknya berpindah kerana tidak mungkin populasi awam boleh meneruskan kehidupan mereka di sana,” kata Schus.

Dia percaya bahwa tentera Russia sengaja meratakan apa sahaja di bandar itu termasuk meruntuhkan bangunan rosak dan infrastruktur lain tanpa mengira ia fasiliti tentera atau kubu perlindungan orang awam.

“Mereka memusnahkan semuanya kerana tidak dapat mengalahkan askar kami. Jadi, mereka bertindak memusnahkan apa sahaja yang masih hidup di Maryinka,” tambahnya.

Dalam pada itu, pertempuran sengit kini beralih ke bandar Bakhmut yang terletak sekitar 112 kilometer ke utara Maryinka.

Timbalan Datuk Bandar Bakhmut, Oleksandr Marchenko memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa saki baki 4,000 penduduk masih bertahan tanpa gas, bekalan elektrik atau air ketika tentera Russia cuba mengepung bandar yang hampir musnah itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI