fbpx

Tiga polis cedera kejar dua penagih dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FOTO tular sepasukan polis mengepung kereta suspek di Jalan Bendahara, Melaka, awal pagi semalam.

MELAKA – Tiga anggota polis cedera dalam aksi mengejar dua suspek lelaki dipercayai penagih dadah yang melarikan diri sejauh kira-kira 500 meter dalam kejadian di Banda Hilir, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek berusia 33 dan 37 tahun itu bagaimanapun berjaya diberkas, manakala anggota terlibat mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan akibat pergelutan.

Katanya, kejadian berlaku selepas sepasukan lima anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Melaka Tengah menahan kereta dipandu suspek pada pukul 11.30 malam di hadapan Hospital Pakar Putra dekat sini.

“Suspek bagaimanapun enggan keluar daripada kenderaan jenis Honda dinaiki, namun polis berjaya menggari suspek menerusi tingkap yang dibuka.

“Pintu kereta mereka bagaimanapun tidak dapat dibuka kerana telah tersepit dengan kenderaan polis dan suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan sebelum melanggar motokar polis serta orang awam bagi meloloskan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, pasukan polis telah mengejar suspek yang melarikan diri ke Kampung Bukit Cina sebelum berjaya memberkasnya di hadapan sebuah hotel di Jalan Bendahara.

“Suspek turut melanggar beberapa buah kenderaan lain di sekitar hotel itu dan kedua-dua mereka berjaya diberkas anggota BSJN, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Cawangan Pencegahan Jenayah Melaka Tengah.

“Hasil pemeriksaan polis menemui 12 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu (51.43 gram), peket lutsinar dipercayai heroin (30.69 gram) dan balutan plastik berisi daun kering disyaki ganja (1.23 gram),” katanya.

Ujarnya, suspek mengakui kesemua dadah yang dirampas adalah milik mereka dan mendakwa mengambil bekalan itu pada Jumaat lalu daripada seorang pengedar di Batu Berendam.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap kedua-duanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kini suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B/15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI