BATU PAHAT – Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri-negeri terjejas banjir mencukupi dan masih mampu melaksanakan tugas walaupun bah yang berlaku agak luar biasa terutama di Johor.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tiada tambahan petugas JKM ditempatkan, tetapi sekiranya perlu pihaknya akan memberikan maklum balas.
Katanya, setakat hari ini seramai 415 petugas JKM dan 600 sukarelawan ditempatkan di negeri terjejas banjir seluruh negara.
“Tiada tambahan petugas dan akan ditambah ikut keperluan. Tiada hujan lagi, banjir termenung. Tetapi jika perlukan kita akan usahakan.
“Kita ada sumber dari negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Dalam di sini, hari ini.
Jelas Nancy, hasil pemerhatiannya di PPS beberapa negeri seperti di Kelantan, Pahang dan Johor sebelum ini adalah bersih, selamat dan tiada bau yang tidak menyenangkan.
Ujarnya lagi, petugas JKM juga menyediakan aktiviti kepada penghuni PPS termasuk aktiviti mewarna untuk kanak-kanak agar mereka tidak tertekan tinggal di PPS.-KOSMO! ONLINE