KANGAR – Suri rumah kepada anggota polis berpangkat Lans Koperal yang maut ditembak suaminya semalam disahkan hamil lima bulan.
Ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, mendedahkan, anak bongsu daripada empat beradik itu hamil anak pertama hasil perkahwinan dengan suspek sejak Mei 2021.
Katanya, jantina bayi dalam kandungan anak perempuannya itu masih belum diketahui.
“Suami Safsufarnisya ini seorang yang mengambil berat tentang kami sekeluarga dan sering menghantar anak bongsu saya menjalani pemeriksaan kandungannya.
“Saya sendiri sudah anggap dia (suspek) seperti anak sendiri kerana selepas berkahwin, mereka tinggal di berek sekejap sebelum berpindah dan menetap di rumah ini,” katanya yang ditemui di kediamannya di Kampung Bendang Baru di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi semalam, mangsa dikenali sebagai Safsufarnisya Salleh, 26, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tembakan di bahagian bawah mata sebelah kiri selepas ditembak suaminya yang merupakan anggota polis. – KOSMO! ONLINE