fbpx

Pesta Lancar EP motherwit tawar tiket ‘harga Rahmah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOTHERWIT

PETALING JAYA – Di mana nak dapat harga tiket untuk menghadiri acara muzik dan pameran seni pada harga serendah RM25?

Kugiran rock alternatif, motherwit menyahut cabaran menongkah kerasnya ekonomi pada masa kini dengan menawarkan harga tiket murah menerusi penganjuran acara Pesta Lancar EP (Extended Play) terbaharu mereka berjudul anteseden.

Biarpun menawarkan harga ‘tiket ekonomi’, namun motherwit berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk acara berkenaan yang akan berlangsung pada 18 Mac ini di Live Fact, Kota Damansara.

Acara yang akan berlangsung selama enam jam itu nanti turut melibatkan tujuh persembahan muzik dan empat pameran seni.

Menurut gitaris motherwit, Noh Zulazfar, mereka mahu meraikan muzik dan komuniti pencinta seni menerusi penganjuran pesta pelancaran EP anteseden.

“Sebab itu tiket dijual pada harga mininum untuk menarik lebih ramai pengunjung menikmati pameran seni serta persembahan yang dianjurkan.

“Untuk menarik kehadiran pengunjung yang ramai, harga tiket tidak perlu dijual mahal. Menerusi acara ini juga, kami mahu mengembalikan nostalgia gig indie yang turut menawarkan tiket fizikal dan merchandise,” ujarnya.

BERGERAK sendiri tanpa penaja atau label, motherwit yakin sokongan peminat dapat membantu mereka meneruskan langkah dalam bidang muzik. Foto – HAFIZ YAZID

Bukan sekadar menawarkan harga tiket serendah RM25 kepada pengunjung, Pesta Lancar tidak melupakan peminat muda dalam kalangan pelajar universiti.

Harga tiket diturunkan kepada RM20 untuk golongan pelajar yang berminat menghadiri acara berkenaan.

“Kami juga mahu menarik lebih ramai pelajar untuk mendengar seni Malaysia, bukan hanya kami tetapi artis lain juga,” tambah Noh.

Selain motherwit, acara berkenaan turut menampilkan persembahan daripada Sabda Alam dan Viona untuk sesi petang.

Bagi sesi tengah hari pula, turut ditawarkan persembahan akustik daripada Petisuara, Laisa, Ilmare dan No Re San.

Sementara untuk pameran seni yang berlangsung sepanjang hari menampilkan barisan artis seperti Hanif Shah, grimlish (Aqilah Naqlis), Kambaek (Iqram Sazali) dan Fet.

Dalam pada itu, motherwit turut berkongsi sedikit tentang EP baharu mereka anteseden yang sudah tersedia dalam semua platform penstriman utama bermula 4 Mac lalu.

Mengandungi lima buat lagu, pelancaran EP tersebut diharapkan motherwit dapat membantu mereka mengumpul dana untuk album pertama mereka kelak.

“Kami membangunkan band ini sendiri (indie) tanpa ada penaja atau label yang boleh menyokong dari segi kewangan.

“Tetapi sokongan peminat dan komuniti muzik indie dengan membeli merchandise serta datang menonton persembahan secara langsung membuatkan kami yakin dapat mengumpul dana untuk album,” ujar pemain dram, Aza. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI