PETALING JAYA – Didakwa melakukan kekerasan terhadap bekas isteri, aktor Hafidz Roshdi mengundang kemarahan netizen sehingga menggesa stesen televisyen tempatan mengharamkannya kemunculan pelakon itu dalam mana-mana drama.
Rata-rata menyifatkan perbuatan Hafidz, 29, sebagai kejam dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang individu bergelar selebriti kerana bimbang menjadi contoh buruk kepada para peminat.
Seorang pembangun konten digital, Khairul Hakimin Muhammad antara lantang menyuarakan pandangan menerusi akaun Facebook, menyelar Hafidz tidak wajar diangkat sebagai idola selepas terlibat dalam keganasan rumah tangga.
“Wajib batalkan Hafidz. Dia tidak wajar menjadi idola, ikon, artis atau apa sahaja bawaan imej di mana-mana layar, televisyen, pawagam atau dalam media sosial,” katanya.
Perkara itu turut dipersetujui oleh pengikut yang enggan lagi menyokong sebarang produk memaparkan wajah Hafidz selepas ini.
“Bukan sahaja boikot, kita perlu berhenti mengikut akaun media sosialnya.
“Zaman kegelapan Hafidz Roshdi dah bermula. Tumbuk muka isteri bukan perkara baik, boikot Hafidz,” kata netizen.
Sementara itu, masih ada yang berpendapat agar tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum terhadap Hafidz yang dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental sebelum ini.
Sejak dua minggu lalu, kisah kemelut rumah tangga Hafidz dan bekas isterinya, Nurul Shuhada antara topik hangat yang diperkatakan ramai dalam medisa sosial.
Selepas dilaporkan menceraikan isteri dengan talak satu menerusi panggilan telefon, Hafidz terus menimbulkan rasa marah umum apabila didakwa menumbuk muka Shuhada sebanyak tiga kali sehingga perlu menerima 10 jahitan.
Semalam, seorang pelakon lelaki dipercayai Hafidz ditahan pihak polis atas dakwaan memukul isteri sehingga membawa kecederaan.
Bagaimanapun, lelaki berusia 29 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.
Shuhada sebelum ini juga mengesahkan sudah mendaftar perceraian mereka di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 27 Mac lalu.
Sekadar info, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2. – KOSMO! ONLINE.