BATU PAHAT – Selepas lebih empat dekad bertugas di awan biru, seorang bekas juruterbang sebuah syarikat penerbangan tempatan terpaksa menelan kepahitan apabila perkhidmatannya ditamatkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada ketika ini.
Jika dahulu, Abu Bakar Hassan, 60, mengukir senyuman dan hidup selesa dengan pendapatan bulanan mencecah lima angka, namun takdir sudah tertulis apabila perkhidmatannya berakhir pada 31 Mei lalu.
“Perkhidmatan saya ditamatkan selepas pihak pengurusan syarikat memutuskan untuk mengurangkan beban kewangan susulan prestasi sektor penerbangan yang terus merudum akibat Covid-19.
“Siapa tak sedih, lebih 40 tahun saya berkhidmat sebagai juruterbang dan pengakhiran begini memberi kesan yang amat mendalam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak mahu meratapi kesedihan itu, anak kelahiran Batu Pahat ini sebaliknya terus bangkit mengusahakan tanah seluas 2.02 hektar di Parit Badak, Seri Medan di sini.
Tanah yang dibeli dengan harga RM45,000 pada 2013 lalu itu diusahakan dengan bercucuk tanam antaranya durian, kelapa sawit, kelapa muda, buluh, ubi, cili sejak Julai lalu.
“Sebenarnya saya memang berniat untuk mengerjakan tanah ini selepas bersara pada usia 65 tahun nanti, namun takdir Allah perkhidmatan saya ditamatkan lebih awal,” katanya.
Jelas Abu Bakar, tidak dinafikan, pada peringkat awal ini menuntut kesabaran tinggi kerana pulangannya yang tidak seberapa berbanding gajinya sebelum ini sebanyak RM35,000 sebulan.
“Kalau ikutkan pendapatan hasil kebun ini RM3,000 sebulan, sedangkan saya ada komitmen lain termasuk empat anak yang bersekolah. Biarlah saya bersusah-susah dahulu, Insya-Allah bersenang-senang kemudian.
“Saya mempunyai banyak perancangan atas tanah ini termasuk mengusahakan ternakan ikan, membela kambing dan ayam. Saya juga merancang untuk membuka gerai makanan dalam masa terdekat,” katanya.
Abu Bakar memberitahu, sektor pertanian mempunyai peluang yang cerah dan terjamin.
“Bagi industri makanan, kita terpaksa bergantung kepada import misalnya kelapa dari Thailand kerana pengeluaran negara tidak mencukupi.
“Oleh itu, saya berpandangan pertanian ini satu bidang yang bagus juga tidak kira sedikit atau banyak (hasil),” katanya.