fbpx

Bekas koperal saman ATM, mahu buktikan penahanan selama 364 hari tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kota Bharu. - Foto KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat koperal memfailkan saman terhadap ATM dan kerajaan berhubung penahanannya selama 364 hari bagi kes dadah yang didakwa tidak sah sehingga dibuang kerja, dua tahun lalu.

Tuntutan saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis lalu menerusi firma guaman, Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz.

Menerusi penyataan tuntutan, plaintif, Mohd. Marzuki Mat Jusoh, 42, menamakan Pegawai Pemerintah Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (Leftenan Kolonel Mohd. Helmy Bohari), pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia (Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan), Panglima Angkatan Tentera dan kerajaan sebagai defendan.

Mohd. Marzuki mendakwa, dia dikehendaki menjalani pemeriksaan sampel air kencing di pejabat Cawangan Siasatan dan Jenayah di Kem Desa Pahlawan di sini kira-kira pukul 1 tengah hari pada 22 November 2019.

“Hasil pemeriksaan terhadap plaintif yang bertugas di Batalion Ke 16, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Desa Pahlawan menunjukkan Mohd. Marzuki positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Plaintif telah didakwa di Mahkamah Tentera, namun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut pada 8 Januari, 6 Mac dan 26 Jun 2020 atas pertuduhan tersebut,” katanya.

Mohd. Marzuki mendakwa, tiada saksi-saksi dipanggil dan peguambela telah memohon penangguhan dengan alasan untuk menyemak selain penyediaan dokumen serta mendapat arahan daripada plaintif termasuk saksi terlibat.

Mahkamah Tentera seterusnya membenarkan penangguhan perbicaraan ke 28 dan 29 Julai 2020.

“Sepanjang tempoh perbicaraan, plaintif dikenakan tangkapan rapi selama 52 hari bermula 6 Mei hingga 26 Jun 2020 dan tangkapan longgar selama 278 hari bermula 26 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021 yang didakwa tidak sah mengikut undang-undang.

“Selain itu, plaintif juga diletakkan di dalam bilik tahanan selama 34 hari bermula tarikh dijatuhkan hukuman pada 31 Mac hingga 4 Mei 2021 yang juga didakwa tidak sah di sisi undang-undang,” memetik penyata tuntutan itu.

Mahkamah Tentera memutuskan Mohd. Marzuki bersalah atas pertuduhan tersebut pada tarikh akhir tangkapan longgar dan dijatuhi hukuman penjara empat bulan selain dibuang kerja daripada perkhidmatan Seri Paduka Baginda.

Rentetan daripada penahanan salah atau tidak sah pihak defendan, plaintif telah mengalami trauma, kesusahan, kehilangan, kerugian, kehilangan yang amat teruk, tekanan fizikal, mental dan perasaan.

Justeru, Mohd. Marzuki menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan khas yang difikirkan adil selaih sesuai oleh pihak mahkamah.

Plaintif turut menuntut faedah pada kadar lima peratus atas jumlah penghakiman dari tarikh tangkapan rapi sehingga ke tarikh penghakiman.

“Selain itu, Mohd. Marzuki menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun atas jumlah penghakiman daripada tarikh penghakiman sehingga ke tarikh penjelasan sepenuhnya, kos guaman termasuk lain-lain relif atau perintah yang patut dan adil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI