fbpx

Skim gaji penjawat awam jadi keutamaan bila hasil negara meningkat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar beramah mesra bersama warga JPM selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga JPM bagi Bulan Mac 2023 di Puspanita, Putrajaya, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa perihal skim gaji penjawat awam akan dijadikan keutamaan kerajaan sebaik hasil negara menunjukkan peningkatan.

Anwar bagaimanapun berkata, buat ketika ini perkara itu belum boleh dilaksanakan lagi.

“Mereka (penjawat awam) tanya tentang skim gaji, itu bila pendapatan negara bertambah, skim gaji akan jadi keutamaan, insya-Allah.

“Tapi untuk bulan ini ‘ngak mungkin pak’ (tidak mungkin),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Mac Tahun 2023 di sini hari ini yang disertai oleh 1,650 warga penjawat awam daripada 33 jabatan kerajaan.

Anwar sebelum ini dipetik berkata, kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

Beliau secara peribadi turut mengakui tidak berpuas hati apabila melihat gaji dan upah semasa penjawat awam ketika ini jika dibandingkan dengan tugas serta komitmen yang diberikan.

Mengulas lanjut, Anwar turut memaklumkan beliau akan membuat pengumuman penting berhubung hasil pendapatan negara pada sesi penggulungan belanjawan 2023 di Dewan Rakyat Khamis ini.

“Khamis ini, saya akan beri gambaran yang sangat positif dari segi hasil, pendapatan negara, ini betul-betul, ini bukan memorandum persefahaman (MoU),” ujar beliau.

“Jadi saya setuju dengan rakan jemah menteri, elok kita gunakan kaedah berbeza untuk menyatakan apa yang berlaku bulan ini atau bulan-bulan berikutnya dari segi tindakan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI