PETALING JAYA – Beautyspells, jenama produk penjagaan kecantikan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Borneo, optimis untuk membimbing lebih ramai pengedar dan usahawan baharu dalam bidang ini pada tahun 2023 dan juga akan datang.
Pengasasnya, Norsidayati Mustari berkata, semangatnya terus berkobar untuk memberi tunjuk ajar dan mampu mengubah kehidupan usahawan baharu untuk perancangan masa depannya.
Ini adalah ekoran kejayaan pengedarnya yang sebelum ini pernah tinggal di bawah jambatan kini mampu memiliki tanah serta membangunkan rumah.
“Ada ejen saya yang tidak tahu membaca dan menulis selain tidak pandai menggunakan platform media sosial untuk membuat promosi dan jualan tetapi kini mereka hidup mereka berjaya atas bantuan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Wanita berasal dari Tawau, Sabah ini memiliki misi untuk menggegarkan Borneo dan membangkitkan semangat berniaga mereka menerusi rangkaian jenamanya yang semakin kukuh.
Sehingga kini, syarikat memiliki kira-kira 16,000 ejen yang mana hampir 98 peratus terdiri daripada wanita.
“Saya mahu membangkitkan semangat semua orang Borneo untuk berusaha ke arah kehidupan yang selesa. Saya mahu memimpin tangan untuk berjaya dan kaya sama-sama,” katanya.
Jelas Norsidayati, tahun lalu terdapat ejennya yang berjaya mencatat jualan sehingga RM2.8 juta jualan setahun.
“Malah tahun lalu ada lima ejen saya mendapat jualan sebanyak RM1 juta setahun. Empat daripada mereka perempuan dan seorang lelaki. Tahun ini saya menyasarkan untuk melihat 15 ejen yang baharu dapat mencapai jualan sehingga RM1 juta setahun ,” katanya.
Tambah beliau, bagi menghargai para pengedarnya, syarikat telah menganjurkan Beautyspells Success Night masing-masing di tiga lokasi dan tarikh berbeza iaitu di Tawau (26 Februari), Sandakan (1 Mac) dan juga Kota Kinabalu (3 Mac) lalu.
Majlis yang telah menelan belanja kira-kira RM1.2 juta itu bertujuan untuk meraikan para pengedarnya yang begitu komited membantu menyokong perjalanan syarikatnya daripada mula hingga sekarang.
“Sebanyak 400 penerima (ejen) telah diraikan dan menerima ganjaran emas berjumlah keseluruhan RM380,000 serta wang tunai RM510,000 yang dihias dalam bentuk jambangan bunga,” katanya. -KOSMO! ONLINE