BARU-BARU ini, saya berkesempatan berkunjung ke Kelantan kerana ada majlis kenduri di beberapa rumah kenalan di negeri tersebut.
Saya sekeluarga mengambil keputusan ke negeri Cik Siti Wan Kembang menggunakan laluan utara menerusi Gerik, Perak menghala ke Jeli dan seterusnya ke Kota Bharu.
Sepanjang perjalanan dari Gerik ke Jeli, kami sempat berhenti di beberapa kawasan untuk menghirup udara segar di Banjaran Titiwangsa dengan menikmati kehijauan flora dan fauna.
Namun, setibanya di sekitar Tanah Merah, perjalanan kami agak terganggu apabila melalui sebuah tapak pembuangan sampah di tepi jalan.
Sampah melimpah dan kawasan berbukit di situ hampir dipenuhi lautan sampah.
Baunya sangat menusuk hidung sehingga kami berada dalam kereta yang tertutup dan berhawa dingin pun masih dapat menghidunya.
Tidak boleh bayangkan perasaan penduduk berdekatan menghidu bau busuk tersebut setiap hari.
Selepas empat hari berada di Kelantan, tiba masanya kami pulang ke ibu kota. Kami memilih laluan Gua Musang.
Sekali lagi hati kami ‘sakit’ apabila melihat ‘hamparan’ sampah di atas bukit berdekatan Bandar Baharu Gua Musang.
Runtun hati kami sekeluarga apabila melihat hutan dan bukit bukau menjadi tempat pelupusan sampah.
Sepatutnya, pihak berkuasa tempatan perlu mencari alternatif lain untuk melupuskan sampah seperti menggunakan loji insinerator.
Bukan niat nak mengkritik negeri orang, tetapi hanya nak berkongsi perasaan sedih dan geram apabila hutan dan bukit bukau dimanipulasi oleh manusia.
Tugas hutan adalah membekalkan oksigen kepada manusia, jangan sampai alam ‘menghukum’ kita suatu hari nanti. Hargailah hutan dan sumber alam kita.
Anti Sampah
Bangi, Selangor