KAWASAN hutan perlu dijaga daripada diteroka oleh pihak tidak bertanggungjawab yang memusnahkan hidupan flora dan fauna dengan aktiviti pembalakan haram.
Hutan merupakan khazanah alam yang amat berharga selain membekalkan negara dengan pelbagai sumber yang boleh menjana pendapatan lumayan.
Malaysia yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi menjadi faktor tarikan pelancong asing untuk datang ke negara ini.
Walaupun hutan membantu negara mempelbagaikan sumber ekonomi, namun akhir-akhir ini, penulis melihat ia menghadapi ancaman kemusnahan daripada aktiviti pembalakan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan keuntungan.
Dengan peningkatan aktiviti pembalakan haram, ia merisaukan kita terhadap berlakunya kemusnahan, bencana alam serta kepupusan hidupan liar.
Kadangkala terlintas di fikiran penulis, adakah pembalakan haram ini berpunca daripada wujudnya unsur rasuah atau dilindungi oleh orang yang ada kepentingan peribadi.
Dalam hal ini, pihak bertanggungjawab perlu merungkai dan membanteras pembalakan haram supaya generasi seterusnya dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang dimiliki terus kekal, selain mengelak dari berlaku sebarang ancaman hidupan liar terhadap orang awam.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang Dewan Rakyat membentangkan mengenai aktiviti pembalakan haram pada tahun lalu yang sangat membimbangkan.
Katanya, sebanyak 90 kes pembalakan haram direkodkan di seluruh negara tahun lalu, dengan Sarawak mencatatkan angka tertinggi sebanyak 60 kes.
Katanya, ia diikuti Perak (11 kes), Kelantan (10 kes), Sabah (empat kes), Selangor (dua kes) serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
Tambahnya, penjenayah yang didakwa melakukan kesalahan ini telah didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) di Semenanjung, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (No. 2 Tahun 1968) di Sabah.
Dalam perutusan sempena Hari Hidupan Liar Sedunia baru-baru ini juga, Nik Nazmi turut berkata, usaha pemuliharaan hidupan liar di habitat asal perlu diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran kondusif dan meminimumkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
Ujarnya, konflik manusia dan hidupan liar boleh menyebabkan kehilangan nyawa, kecederaan, kemusnahan tanaman, kematian ternakan serta kemusnahan harta benda.
Menurutnya, seramai 25 orang telah meninggal dunia dan 270 lagi mengalami kecederaan akibat diserang haiwan liar dari 2018 hingga 2022, manakala jumlah keseluruhan anggaran kerugian dalam tempoh itu akibat serangan spesies utama hidupan liar pula berjumlah RM43.3 juta.
Sementara itu, pakar alam sekitar, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, kerajaan komited dengan perjanjian dunia mengenai isu tersebut dan menyatakan komitmen berkaitan perlindungan hutan dalam negara.
Katanya, suatu polisi serta undang-undang sudah tersedia dan perlu terus diperkasakan dengan denda ditingkatkan, namun aktiviti pembalakan haram masih tiada kesudahannya.
Untuk itu, tindakan bersepadu perlu dilakukan merentasi Kerajaan Pusat, negeri serta badan bukan kerajaan bagi membendung isu ini daripada terus berlarutan.