BAGHDAD – Agensi kastam Iraq menerima arahan kelmarin untuk mula menguatkuasakan larangan import alkohol meskipun terdapat pertikaian mengenai undang-undang di negara itu, lapor laman berita Wion News.
Kedai-kedai runcit khusus bagaimanapun, yang mendominasi jualan arak dibenarkan terus beroperasi sekurang-kurangnya di kota Baghdad, demikian menurut agensi berita AFP.
Undang-undang baharu yang melarang penjualan, import dan pengilangan arak itu pertama kali diluluskan oleh Parlimen Iraq pada 2016, namun ia hanya diterbitkan dalam warta rasmi pada 20 Februari lalu sebelum digariskan menjadi undang-undang.
“Pihak Berkuasa Kastam Am telah memberi arahan kepada semua pusat kastam untuk melarang kemasukan semua jenis minuman beralkohol,” kata pihak berkuasa berkenaan dalam satu kenyataan.
Undang-undang baharu itu memperuntukkan denda antara 10 juta hingga 25 juta dinar (RM30,671 hingga RM76,678) bagi kesalahan yang dilakukan.
Undang-undang itu bagaimanapun bertentangan dengan dekri kerajaan yang dilaksanakan pada 14 Februari lalu dengan menetapkan duti sebanyak 200 peratus bagi semua minuman beralkohol yang diimport untuk empat tahun akan datang.
Pelaksanaan tersebut mendapat kritikan keras daripada ahli-ahli parlimen dan penyokong hak-hak asasi manusia yang mewakili minoriti bukan Islam di Iraq yang semakin berkurangan.
Awal minggu lepas, lima ahli parlimen memfailkan rayuan kepada Mahkamah Agung Persekutuan yang mendakwa larangan itu adalah menyalahi undang-undang kerana ia tidak menghormati hak-hak penduduk minoriti.
Walaupun larangan alkohol adalah undang-undang persekutuan, ia mungkin tidak terpakai di wilayah autonomi Kurdis Iraq yang mengendalikan pos kastamnya sendiri di sempadan utara dengan Turkiye. – AGENSI