fbpx

Jerami gulung di Alor Setar jadi tarikan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar di kawasan bendang yang dihiasi jerami gulung di Kampung Kelompang, Tok Keling di Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Keunikan jerami gulung yang menghiasi kawasan sawah di Kampung Kelompang, Tok Keling di sini menjadi tarikan terbaharu bagi penduduk untuk beriadah terutama sepanjang cuti persekolahan ini.

Lebih menarik apabila, inisia­tif untuk menghiasi kawasan sawah seluas 0.6 hektar itu adalah hasil usaha sekumpulan penduduk kampung.

Menurut seorang penduduk, Syaiful Rizal Che Ghazali, 40, usa­ha itu bermula apabila mereka berjaya mengumpul wang seba­nyak RM2,000 untuk membeli 16 gulung jerami sebelum memulakan kerja-kerja menghias sawah secara bergotong-royong pada 28 Februari lepas.

“Kira-kira 20 penduduk kampung daripada pelbagai lapisan usia bergotong-royong menyusun replika jerami gulung ini.

“Sebaik siap, kawasan ini te­rus dikunjungi orang ramai dan kemuncaknnya adalah pada Jumaat dan Sabtu lepas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Syaiful yang merupakan seorang kontraktor berkata, tujuan mereka menghiasi kawasan berkenaan adalah untuk menyediakan lokasi riadah kepada penduduk setempat selain memperkenalkan kampung tersebut kepada orang luar.

“Rasa terharu apabila orang ramai berpusu-pusu datang bersama keluarga masing-masing. Kami tidak kenakan sebarang caj kerana mahu orang ramai bergembira bersama keluarga masing-masing.

“Peniaga pun ambil kesempatan untuk berniaga di kawasan ini, jadi ia juga beri rezeki untuk mereka,” katanya.

Rakannya, Amiruddin Ahmad, 40, berkata, idea untuk menghias kawasan bendang dengan jerami gulung itu buat pertama kali dilakukan pada 2021 sebagai prop penggambaran sebuah filem.

“Tahun ini, kami buat lagi dan tak sangka dapat sambutan. Lebih mengujakan apabila anak-anak muda kampung turut serta menggunakan kreativiti masing-masing untuk menyusun jerami gulung ini.

“Kami berhasrat untuk menjadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan di Kampung Kelompang ini selepas musim,” ujarnya.

Seorang pengunjung dari Pokok Sena dekat sini, Azumi Khalid, 45, mereka enam beranak mengunjungi kawasan jerami gulung itu untuk beriadah sempena musim cuti sekolah.

“Nak bawa anak-anak ke tempat lain makan belanja juga, jadi kami memilih untuk datang ke sini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI