SEBERANG PERAI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan sehingga RM615,000 untuk bekalan makanan bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu bagaimanapun tidak mencukupi buat masa ini memandangkan terdapat pertambahan dari segi bilangan mangsa banjir yang terlibat.
“Setakat ini, kalau di Johor sahaja sudah ada lebih 42,000 (mangsa banjir). Apapun, saya gembira kerana Yayasan Kebajikan Negara (YKN) juga membantu melalui badan korporat yang memberi sumbangan kepada kita dan akan menambah lagi RM50,000.
“Dalam hal ini, saya juga ingin menguar-uarkan kepada pihak di luar sana yang ingin menderma bahawa mereka boleh berbuat demikian menerusi YKN,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Laman Wanita (LaWa) cawangan Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Sementara itu, Nancy berkata, pihaknya turut melakukan persiapan dan sentiasa bersiap siaga susulan terdapat ramalan mengatakan akan berlaku banjir di Sabah dan Sarawak pula pertengahan Mac ini.
“Kita berharap ramalan banjir itu tidak keterlaluan seperti mana yang sedang berlaku di Johor ketika ini,” jelas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy turut menyifatkan bahawa insiden tiga pegawai JKM yang terperangkap semasa dalam perjalanan untuk menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Johor beberapa hari lalu sebagai insiden di luar jangka.
“Itu sebenarnya hari pertama mereka. Jadi, mereka terkejut apabila terkandas dan tidak dapat sampaikan bantuan itu. Apapun, saya bersyukur kerana mereka semua selamat,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE