fbpx

Mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 46,742

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA buah rumah dilanda banjir di Kampung Temehel, Yong Peng, Batu Pahat. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seramai 3,497 mangsa daripada 990 keluarga terpaksa dipindahkan apabila banjir terus melanda di kesemua 10 daerah di negeri ini setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir meningkat kepada 46,742 mangsa daripada 13,552 keluarga di 264 pusat pemindahan sementara (PPS), menurut maklumat terkini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, angka itu terus melonjak setelah bilangan mangsa di Batu Pahat meningkat lebih dua kali ganda daripada 7,830 mangsa, semalam kepada 15,915 dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, angka itu melibatkan 4,616 keluarga yang ditempatkan di 62 PPS termasuk 17 yang baru dibuka.

BEBERAPA penunggang motosikal melintasi air banjir di Jalan Yong Peng – Chaah berdekatan Kampung Temehel , Yong Peng, Batu Pahat hari ini. – Foto RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

“Selain Batu Pahat, turut mencatatkan jumlah mangsa tertinggi ialah Segamat dengan 13,319 mangsa daripada 3,895 keluarga diikuti Kluang (5,270), Muar (4,103), Kota Tinggi (3,249) dan Tangkak (3,007).

“Sementara itu, empat daerah lain merekodkan jumlah mangsa di bawah 1,000 penduduk iaitu Mersing (975), Johor Bahru (511), Pontian (330) dan Kulai (63),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, jumlah mangsa korban banjir di negeri ini seramai empat orang iaitu satu kes di Kluang dan tiga kes di Segamat.

Katanya, mangsa maut di Kluang setelah kenderaan dipandunya itu dihanyutkan arus deras ketika berada dalam perjalanan, manakala tiga mangsa di Segamat dilaporkan mati lemas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI