SEGAMAT – Banjir yang melanda daerah ini, mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk yang menyifatkan situasi kali ini yang terburuk.
Bagi Ali Md. Yusof, 75, dia mendakwa keadaan banjir yang berlaku kini seakan sama yang berlaku sebelum tragedi gelombang besar melanda pada 1948.
“Hujan bermula sejak tengah malam Selasa dan saya terjaga pada pukul 4 pagi sebelum mendapati air sudah naik dua meter di luar rumah, manakala di bahagian dapur pula telah dimasuki air.
“Saya terus mengejutkan ahli keluarga agar berkemas dan melakukan persiapan, namun tidak sempat mengalihkan kenderaan dan peralatan elektrik di tempat selamat.
“Jika hujan masih berterusan sehingga esok, kami bimbang akan berlaku seperti banjir besar pada 1948 yang masih lagi menjadi igauan warga Segamat,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali di sini.
Menurutnya, pada tahun 1948 sebahagian besar penduduk di Kampung Jawa Baru memilih untuk membina rumah yang bertiang tinggi bagi mengelakkan banjir berikutan kawasan berkenaan sering dilanda banjir dan berdekatan Sungai Chaah.
Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Masni Wakiman berkata, sehingga kini, seramai 13,334 mangsa telah ditempatkan di PPS.
Beberapa jalan utama dan alternatif di daerah ini juga dinaiki air menyebabkan kenderaan ringan gagal melalui jalan berkenaan. – KOSMO! ONLINE