fbpx

Penjaja mengamuk, tak puas hati gerai disita PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik oleh pengguna di Twitter.

PETALING JAYA – Seorang penjaja bertindak mengamuk dan memaki hamun pihak berkuasa tempatan (PBT) yang datang untuk menyita gerai yang dipacak di tepi jalan.

Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna di Twitter, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Kota Bharu, Kelantan dan tular di media sosial sejak semalam.

“Hanya berani dengan Melayu, bertabahlah wahai penjaja. Bertolak ansurlah wahai PBT,” tulis pengguna tersebut dalam video itu.

Walau bagaimanapun, PBT tampil membuat penjelasan bahawa penjaja tersebut melakukan beberapa kesalahan sehingga membahayakan pengguna jalan raya dan pembeli.

“Penjaja tersebut berniaga di pintu masuk pasar raya dan persimpangan jalan sekali gus menghalang pandangan pemandu yang keluar simpang.

“Tambah pula kekotoran akibat minyak di atas jalan selain gangguan bau kepada premis perniagaan kain.

“Mereka (penjaja) juga menjalankan perniagaan di tempat parkir kereta di mana ia tidak dibenarkan. Alatan jualan turut ditinggalkan dan menghalang pintu premis,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen, ramai mengecam tindakan penjaja berkenaan yang dianggap jelas salah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Biasanya PBT tidak akan datang jika tiada laporan atau tidak salah. Ini terang-terang ada salah patutlah diambil tindakan itupun sudah diberikan amaran selalunya,” komen Ain.

“Berniaga tidak ikut peraturan PBT lepas itu main ‘race card’, dan rasa terpaling kena tindas. Benda memang salah, tak kira bangsa apa, PBT akan ambil tindakan,” komen pengguna yang lain pula.

Sehingga kini ciapan tersebut telah mendapat 4,749 perkongsian dan 6,983 tanda suka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI