TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Penang Tech Centre Berhad bagi menjalin kolaborasi akademik dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di Tech Dome Centre, George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin. Md Taff, kerjasama dimeterai dengan Penang Tech Centre yang mengendalikan Tech Dome Centre itu bakal menawarkan kepakaran melatih guru-guru dalam pelbagai bidang kemahiran.
“Kerjasama yang diterajui Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) akan melibatkan program latihan guru, pertandingan inovasi dan penyelidikan bukan sahaja para mahasiswa, tetapi warga kakitangan akademik universiti.
“Kerjasama strategik itu juga sekali gus akan memberi impak yang besar terhadap minat pelajar untuk mempelajari sains dan teknologi seterusnya menyediakan guru serta tenaga pengajar berkualiti untuk memberikan pengalaman pembelajaran berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Tech Centre, Khoo Boo Wooi merakamkan penghargaan atas kesudian UPSI menjalin kerjasama dan berharap ia akan menjadi tanda aras baharu terhadap pendidikan sains dan teknologi di Pulau Pinang.
“Penang Tech Centre sebagai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri akan membantu dari segi penyediaan fasiliti yang akhirnya akan menggalakkan pertumbuhan minat dalam kalangan pelajar dan generasi muda terhadap pembelajaran sains, teknologi dan kemahiran,” jelasnya.
Majlis memeterai MoU itu turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satesh yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Penang Tech Centre.
Beliau turut menyatakan kerajaan negeri memberikan sokongan kuat terhadap kerjasama tersebut yang mana ia akan memberikan faedah besar kepada negara. – KOSMO! ONLINE