fbpx

Liga Super: KDA FC tewas di tangan PDRM FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aksi separuh masa pertama KDA FC menentang PDRM FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - Gambar ihsan KDA FC

ALOR SETAR – Layangan kad merah terhadap ketua pasukan, Manuel Ott dan Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd. Nafuzi Md. Zain membantu PDRM FC menewaskan Sang Kenari 1-0 di Stadium Darul Aman di sini malam ini.

Pasukan pelawat pada awalnya langsung tidak menampakkan tanda-tanda mereka akan menang apabila hanya melakukan satu percubaan tepat sepanjang babak pertama perlawanan.

Ia menerusi rembatan deras pemain pertahanan kanan, Muhamad Norfiqrie Abdul Talib dari jarak kira-kira 30 meter pada minit ke-3 yang ditangkap kemas penjaga gol utama KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Penyerang utama mereka dari Brazil, Willian Lira memulakan asakan pada minit ke-7 apabila memperdaya dua pertahanan lawan untuk merapati pintu gol The Cops, namun percubaannya dari dalam kotak penalti tersasar ke kanan gawang.

Selepas itu, terdapat dua percubaan tepat dihasilkan Sang Kenari melalui Muhammad Ariff Farhan Md. Isa dan tonggak tengah dari Tajikistan, Amirbek Juraboev pada minit ke-11 dan 15, tetapi digagalkan penjaga gol PDRM FC, Mohamad Ramdhan Ab. Hamid.

Penguasaan KDA FC berterusan dengan giliran sayap lincah, Al-Hafiz Harun yang membuat percubaan pada minit ke-19, namun rembatan leret yang meluncur perlahan ke garisan gol selepas ditepis Mohamad Ramdhan berjaya dikeluarkan pertahanan PDRM FC sebelum sempat menerjah gawang.

Memasuki babak kedua, PDRM FC tampak lebih berani untuk mengatur gerakan menyerang dengan berjaya membuat percubaan tepat kedua pada minit ke-56 hasil sepakan percuma diambil Fai Mahmoud Awad Saleh, namun gagal memasuki gawang gol.

Hanya beberapa minit selepas itu, timbul kekecohan melibatkan pemain kedua-dua pasukan di kawasan berhampiran kotak penalti pasukan pelawat menyebabkan ketua pasukan KDA FC, Manuel Ott dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd. Azizan Saat Aiffin.

Melihat keadaan itu, Mohd. Nafuzi menukar percaturan dengan membawa empat pemain sekali gus iaitu Amirbek, Mohamad Al Hafiz, Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman dan Jonathan Balotelli bagi digantikan dengan Manuel Hidalgo, Mohamad Heshamudin Ahmad, Mohd. Fadzrul Danel serta Mohammad Fayadh Zulkifli.

Perancangan itu nyata berjaya membantu KDA FC meneruskan penguasaan, namun pada minit ke-70, tindakan pengadil sekali lagi menjadi tumpuan apabila dia melayangkan pula kad merah kepada Mohd. Nafuzi.

Keadaan itu memberi kesan terhadap persembahan KDA FC dengan mereka tiba-tiba dikejutkan oleh jaringan penyerang import PDRM FC, Bruno Suzuki yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti selepas berlaku keadaan kelam-kabut di situ. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI