PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menyempurnakan majlis pecah tanah tapak surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands di Brinchang, Pahang.
Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook berkata, turut berangkat pada majlis tersebut Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 3.30 petang tadi disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain; Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Md. Nor dan Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Datuk Seri Daniel Lim Hock Sing.
Menurut kenyataan itu, surau yang bakal menjadi mercu tanda baharu Cameron Highlands itu akan dibina di atas tanah seluas seekar dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2024.
“Surau yang bakal dibina dengan keluasan 6,016 kaki persegi itu mampu memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa dan bakal memberi manfaat kepada kakitangan IPD Cameron Highlands serta masyarakat setempat.
“Pembinaan surau itu bakal menelan belanja hampir RM5 juta hasil sumbangan LBS Bina Group Berhad sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat pemaju hartanah berkenaan,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE