SABAK BERNAM – Sepasang suami isteri warga emas maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 70 Jalan Teluk Intan-Klang di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.08 pagi itu ketika kedua-dua mangsa berusia 60-an menaiki motosikal Yamaha Lagenda ke Parit Lima dari rumah mereka di Kampung Baru.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati kereta Nissan Grand Livina dipandu lelaki berusia 32 tahun sedang menuju ke Simpang Lima, Sungai Besar.
“Namun, motosikal mangsa dipercayai mengubah laluan dari bahu jalan hingga menyebabkan pemandu itu gagal mengelak lalu melanggar mereka. Perlanggaran itu mengakibatkan pembonceng wanita meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, suaminya yang cedera di kepala dan patah kaki kiri telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Agus Salim menjelaskan siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE