GUA MUSANG – Kerajaan perlu merangka strategi berkesan dengan mengurangkan import makanan selain meningkatkan daya pengeluaran dalam negara bagi mengawal isu kenaikan harga barang makanan dan keperluan harian.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, negara kini berdepan masalah yang besar kerana pengeluaran dalam negara rendah dan terlalu bergantung dengan barangan import.
“Apabila Ringgit kerap ditukar dengan mata wang asing, permintaan terhadap nilai Ringgit akan rendah. Segala barang makanan diimport dari luar termasuk bawang, lada, kubis dan sebagainya. Hasil makanan tidak dikeluarkan dengan cukup dalam negara.
“Oleh itu, kita mesti ada cara untuk mengawal keadaan tersebut. Jadi, kita perlu mengawal import dan meningkatkan daya pengeluaran negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Amanat Ku Li di Bukit Cekati di sini hari ini.
Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu bagi bertukar idea dan pandangan mengenai keadaan ekonomi semasa negara.
“Saya sudah cadangkan apa yang perlu dibuat. Saya rasa dalam masa enam bulan sehingga setahun, Ringgit akan naik dan kemungkinan hutang negara akan berkurang,” katanya. – KOSMO! ONLINE