LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menganggap pertemuan dengan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield tengah malam ini sebagai aksi derbi.
Meskipun kedua-dua pasukan dibezakan dengan jarak mata yang agak jauh, namun pengendali dari Jerman itu memandang serius pertemuan tersebut apabila mengambil kira sejarah perseteruan antara Liverpool dan United.
The Reds pastinya mahu menyekat hajat United yang mahu membawa pulang tiga mata ke Old Trafford, sekali gus menggugat peluang pasukan pelawat itu untuk terus berada dalam kelompok empat teratas.
“Secara jujur, perlawanan ini adalah aksi derbi yang sebenar. Perlawanan ini pastinya menyajikan aksi menarik kerana pertemuan kedua-dua pasukan di mana-mana stadium sentiasa menarik perhatian.
“Mereka (United) bermain sangat baik selepas kemasukan (Erik) Ten Hag walaupun sebelum ini prestasi mereka agak terumbang-ambing.
Anda boleh tengok pengalaman yang ada pada United menerusi Raphael Varane, Casemiro dan Christian Eriksen,” kata Klopp.
Walaupun memandang tinggi kemampuan United, namun beliau tetap percaya dengan kemampuan dimiliki barisan pemainnya selain tuah beraksi di laman sendiri boleh membantu Liverpool meraih tiga mata.
“Bagi kami, perlawanan ini sangat penting kerana kami mahu memperbaiki kedudukan pasukan. Saya tidak mahu bercakap kosong kerana ia perlu dibuktikan dalam setiap perlawanan,” ujarnya. – AGENSI