SEKALI imbas, wajah gadis Pesona Ahad pada minggu ini mirip pelakon cantik, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.
Bagi Dinie Amila Mohamad Rizwan, dia sudah ‘lali’ disamakan dengan Puteri Sarah, tidak kurang juga ada yang menegur mukanya iras penyanyi Nabila Razali.
Mesra disapa Dinie, gadis berusia 25 tahun ini mempunyai impian dan cita-cita sendiri untuk bergelar seorang model berjaya.
Kuasa tular menerusi video live Dinie bersama pelakon popular, Remy Ishak dalam platform media sosial Instagram ibarat rezeki terpijak untuk gadis ini terus mengorak langkah dalam bidang yang diminatinya.
Tidak mahu melepaskan peluang di depan mata, anak sulung daripada empat beradik itu turut memasang angan-angan menyertai dunia hiburan sebagai pelakon. Kepada Kosmo! Ahad, anak kelahiran Kedah ini bercerita lanjut mengenai dirinya.
Kosmo! Ahad: Ceritakan mengenai latar belakang Dinie.
Dinie: Saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Pengiklanan) di Universiti Teknologi Mara. Alhamdulillah, selepas tamat pengajian, walaupun tidak bekerja dalam bidang pengiklanan, saya dapat merealisasikan impian sejak kecil bergelar seorang model. Saya bersyukur keluarga dan rakan-rakan banyak membantu.
Fakta menarik tentang Dinie?
Saya pernah belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina selama enam tahun. Saya juga pernah mewakili UiTM dalam Chinese Bridge Competition. Walaupun tidak menang, pensyarah memberi dorongan untuk menyertai Mandarin Singing Competition. Alhamdulillah saya mendapat tempat ketiga. Sebelum menceburi bidang modelling, saya melakukan lebih 10 kerja sambilan sejak berusia 15 tahun. Saya memang suka cari duit poket sendiri, bukannya disebabkan keluarga tidak mampu.
Apakah kenangan yang tidak boleh dilupakan?
Pengalaman beri impak kepada saya yang mana kerjaya sekarang ada kaitan dengan bidang pengiklanan. Ketika itu klien adalah Origina dan Remy merupakan duta minuman tersebut. Saya berkesempatan membuat live bersama beliau. Pada mulanya, memang agak kekok dan hanya tersenyum. Sebahagian siaran langsung itu dikongsi dalam Twitter sebelum tular. Sejak itu, ada pihak yang ‘melamar’ saya untuk jadi model sambilan. Alhamdulillah sampai sekarang masih bertahan sebagai
model.
Apa yang Dinie lakukan pada waktu lapang?
Luangkan masa bersama kawan-kawan, pergi jalan-jalan atau ‘food hunting’. Kalau tiada perancangan lain, saya lebih suka duduk di rumah.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Seorang lelaki yang memahami, penyabar dan rajin. Buat masa sekarang, saya tiada perancangan untuk bertunang atau berkahwin. Saya akan fokus terhadap kerjaya. Jika ada rezeki, Insya-Allah Dinie sentiasa terbuka untuk ke fasa yang lebih serius bersama pasangan.
Siapa Dinie dalam masa 10 tahun akan datang?
Dalam masa 10 tahun akan datang, saya berumur 35 tahun. Dinie berharap pada ketika itu, saya sudah mempunyai keluarga kecil sendiri, perniagaan dan melancong bersama mereka yang tersayang. -KOSMO! ONLINE