JAKARTA – Satu pertandingan termenung dianjurkan oleh syarikat pengendali taman permainan, Universal Board Game Land di daerah Agam, Indonesia, hari ini, lapor laman berita Suara.com.
Pemiliknya, Winda Vares berkata, pertandingan itu dimulakan pada pukul 2 petang (waktu tempatan) kerana ia adalah masa yang sesuai untuk mengelamun sehingga lewat petang.
“Kami meniru pertandingan ini dari Korea. Tujuannya adalah untuk melakukan eksperimen sosial terhadap masyarakat khususnya di daerah Agam atau Kota Bukittinggi dan Sumatera Barat,” kata Winda.
Winda berkata, pihaknya mahu membuktikan sama ada manusia boleh bertahan tanpa telefon bimbit dan tidak berinteraksi secara sosial.
“Bolehkah mereka meluangkan masa 90 minit untuk diam dan bermuhasabah? Apatah lagi kita bakal memasuki bulan suci Ramadan.
“Refleksi diri, apa yang telah dilakukan dan apa yang akan dilakukan pada masa hadapan, Jadi, peserta bukan mengelamun tanpa tujuan,” katanya.
Pemenang pertandingan ini diarahkan untuk menulis isi kandungan yang difikirkan ketika dia mengelamun.
“Pemenang akan mencatatkan hasil dia mengelamun dan berhak mendapat 1 juta rupiah (RM288),” tambah Winda.
Selain tidak dibenarkan bermain telefon bimbit dan berinteraksi, peserta juga tidak dibenarkan untuk makan, minum dan ke tandas. – Agensi