fbpx

Belanja RM30,000 untuk melaram emas pada hari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORSYAZWANI (kiri) menunjukkan gelang emas corak lipan yang menjadi pilihan kebanyakan pelanggan di premisnya di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu baru-baru ini. – ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Pengusaha barangan kemas di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini memberitahu terdapat pelanggan berbelanja sehingga RM30,000 untuk membeli emas di kedai mereka sejak bermulanya cuti persekolahan minggu lalu.

Pemilik Kedai Emas Noris, Norsyazwani Ismail, 38, berkata, orang ramai terutamanya pelancong dari luar Kelantan dilihat tidak melepaskan peluang membeli barangan kemas apabila harga semasa turun kepada RM252.20 segram tiga hari lalu.

Menurutnya, penurunan harga emas daripada RM257 segram itu sejak minggu lalu turut menjadi faktor kedai-kedai emas di Pasar Siti Khadijah menjadi tumpuan golongan wanita.

“Saya sendiri tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke premis sejak seminggu lalu. Rata-rata pelanggan membeli hingga lima jenis barang kemas dengan nilai hampir mencecah RM15,000 hingga RM30,000.

“Selain membeli emas, ada pelanggan menukar barangan kemas lama kepada yang baharu. Mereka hanya perlu menambah sedikit wang berbanding membayar harga emas baharu,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan pelanggan dari luar Kelantan membeli emas untuk diga­yakan pada Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Menurutnya, mereka datang ke Kelantan untuk melancong sempena cuti persekolahan dan mengambil peluang membeli barangan kemas sebelum sambutan Ramadan.

“Saya melihat bas yang membawa pelancong berhenti di pekarangan Pasar Besar Siti Khadijah hampir setiap hari. Kebanyakan penumpangnya datang ke kedai emas untuk melihat barang kemas corak terbaru yang dijual di sini,” katanya.

Seorang pekerja kedai emas di pasar itu, Fatehah Ferdaus, 23, berkata, premis menjual barangan kemas akan mula diserbu pelanggan pada waktu tengah hari sejak seminggu lalu.

Menurutnya, jika 20 orang pe­langgan singgah di kedai, separuh daripada jumlah itu membeli barangan kemas.

“Kebanyakan pelanggan membeli emas pelbagai corak dan mereka sanggup ber­belanja antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk barang kemas,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI