KEJAYAAN mengungguli trofi Penyanyi Baharu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 tahun lalu menjadi antara bukti kehebatan penyanyi yang terkenal dengan imej rambut kembang itu dalam mewarnai dunia muzik tanah air.
Pemilik nama pentas, Vanessa Reynauld pernah menggondol gelaran naib juara program The Masked Singer musim pertama selepas mencipta nama menerusi pertandingan nyanyian kanak-kanak, Ceria Popstar musim ketiga dengan meraih tempat keempat.
Berbekalkan kualiti vokal setaraf penyanyi kulit hitam antarabangsa, tidak keterlaluan jika dikatakan Vanessa kini antara penyanyi wanita tanah air yang boleh dibanggakan Malaysia.
Kesempatan bertemu dengan penyanyi dengan perwatakan manja itu dalam majlis sidang akhbar drama Andai Itu Takdirnya baru-baru ini, Pose sempat ‘mengorek’ perihal kisah cinta, selain cabaran Vanessa bergelar anak seni.
Menginjak usia 22 tahun, pucuk muda dengan nama lengkap Vanessa Ben Reynauld itu mengakui hatinya masih ‘kosong’ tanpa kehadiran lelaki bergelar kekasih.
Alasannya mungkin klise. Tetapi jawab Vanessa, dia mahu memberikan tumpuan penuh terhadap perjalanan karier nyanyian yang masih berstatus setahun jagung.
“Sekarang saya masih lagi solo. Usia saya baru berusia 22 tahun. Saya tidak mahu terburu-buru untuk memulakan hubungan cinta.
“Saya mahu tumpukan perhatian terhadap kerjaya nyanyian dahulu. Tapi saya tidak menolak jika ada lelaki yang mahu cuba mendekati atau berkenalan. Saya okey sahaja,” katanya tersipu malu.
Selain enggan bercinta pada usia muda, Vanessa juga perlu menjaga nama baik daripada terpalit cerita tidak enak memandangkan statusnya sebagai figura umum.
Sebagai artis, penyanyi tinggi lampai itu sebaik-baiknya mahu menjaga tingkah laku baik dan mengelak daripada menjadi buah mulut netizen yang semakin galak ‘menghukum’ dalam media sosial.
“Sebagai seorang figura umum, saya tidak boleh lari daripada menjadi perhatian netizen. Saya takut sebenarnya, sebab mereka (netizen) yang tentukan apa yang boleh dan tidak boleh artis lakukan.
“Apabila bergelar seorang artis, saya akan sedaya upaya menjaga kelakuan termasuk dari segi penampilan ketika berada di depan khalayak umum.
“Tak dinafikan pada usia muda sebegini, kadangkala saya teringin juga untuk buat perkara ‘bodoh’, tapi saya kena fikir dahulu dan perhatikan siapa yang ada di sekeliling saya. Takut nanti reputasi saya akan tercalar,” katanya.
Ujar penyanyi yang popular menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa yang dinyanyikan duet bersama Naqiu itu, perwatakannya yang agak lincah dan periang kadangkala perlu dikawal supaya tidak menimbulkan jelik di mata orang.
“Sebenarnya agak susah untuk kawal kelakuan saya yang lincah. Tapi saya tidak kisah pun apa orang nak cakap. Apa yang penting saya tidak melampaui batas sehingga menyakiti hati orang lain,” jelasnya.
Melihat pada perubahan bentuk tubuhnya yang semakin langsing, sambil ketawa Vanessa menafikan sedang menjalani rejim diet yang ketat untuk kurus.
Katanya, dia cuma mengamalkan gaya pemakanan sihat dan selektif dengan menu yang diambil untuk menurunkan berat badan.
“Cuma saya jaga dan amalkan pemakanan yang sihat serta melakukan senaman asas. Apa-apa pun saya memang yakin dengan bentuk badan dan penampilan saya. Tidak perlu ubah diri secara keterlaluan,” katanya.
Terbaharu, Vanessa muncul dengan sebuah single berjudul Andai Itu Takdirnya yang turut menjadi runut lagu untuk drama dengan tajuk yang sama.
Lagu ciptaan Ejai dan Kelana, manakala lirik nukilan Siti Rosmizah itu disifatkan Vanessa sebagai sangat menyentuh perasaan dan perlukan penghayatan tinggi.
“Untuk dapatkan ‘rasa’ dalam lagu, saya diberikan plot drama Andai Itu Takdirnya supaya lebih faham jalan cerita yang hendak disampaikan,” katanya.