fbpx

Dibayar RM100, terpaksa bahagi dua pula – Lah Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAH AHMAD

PETALING JAYA – Penyanyi Lah Ahmad memberitahu berasa lebih seronok membuat persembahan di majlis perkahwinan kerana merasai keberkatan menyanyi di majlis sebegitu.

Ujar Lah atau nama lengkapnya Abdullah Ahmad, 42, selain menyanyi, adakalanya dia juga diundang untuk berselawat di majlis perkahwinan untuk memberi keberkatan kepada majlis.

“Selain persembahan pentas, saya juga kerap diundang untuk membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Sejujurnya saya berasa lebih seronok menyanyi di majlis sebegitu.

“Sebab ketika saya menyanyi di majlis perkahwinan, tetamu tidak ambil peduli sangat berbanding ketika saya membuat persembahan pentas. Jadi saya berasa lebih selesa.

“Orang tak tepuk tangan pun tak mengapa. Apa yang penting saya masih jalankan tugas memeriahkan majlis. Itu kepuasan yang saya dapat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata bekas anggota kumpula VE itu lagi, selain menyanyi, dia juga kerap diundang untuk berselawat di majlis-majlis keramaian termasuk perkahwinan dan merasai keberkatan majlis tersebut.

“Saya seronok sebab dapat rasai keberkatannya dan gembira meraikan pengantin,” katanya.

Ujar Lah, dia bersyukur kerana rezekinya kembali memihak dalam bidang seni walaupun tidak serancak dahulu ketika bersama VE selepas merasai zaman kejatuhan sekitar tahun 2013.

Kongsinya, selepas berundur daripada VE, Lah berkata dia pernah merasa dirinya berada di titik paling bawah dalam kehidupan apabila pernah dibayar dengan harga serendah RM100 untuk membuat persembahan.

“Zaman susah saya sekitar tahun 2013 selepas berundur daripada kumpulan VE. Saya pernah dapat bayaran membuat persembahan pentas serendah RM100 yang terpaksa dibahagi dua bersama pengurus.

“Saya terpaksa bersetuju untuk membuat persembahan walaupun dibayar dengan harga murah kerana memikirkan keluarga yang perlu ditanggung,” kongsi Lah yang ditemui di majlis sidang media Soundvalley Festival 2023 di Panggung Asia, Gombak, semalam.

Tambah pelantun lagu Ayu itu, walaupun isterinya ketika itu bekerja, namun sebagai suami dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang ketua keluarga.

“Bila ada tawaran membuat persembahan, adalah duit walaupun dibayar RM100. Ketika itu barulah saya tahu betapa besarnya nilai RM100.

“Sekarang alhamdulillah, keadaan semakin baik. Saya sangat bersyukur rezeki saya dalam bidang seni tidak pernah putus,” katanya.

Untuk rekod, pada bulan lalu, Lah telah menjayakan konsert solonya yang pertama, 25 Years Lah Ahmad Live bersempena pembabitannya selama 25 tahun dalam bidang seni. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI