KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan kerajaan yang dipilih agar mentadbir urus negara secara bijaksana melalui mekanisme yang tidak menyeleweng serta jauh daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Baginda bertitah, rakyat yang semakin celik huruf mengutamakan faktor integriti, amanah dan ketelusan selain mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengari.
Malah titah baginda, rakyat juga semakin lantang mendedahkan isu rasuah dan menolak pemimpin berimej rasuah, menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.
“Rakyat sudah terlalu lemas dan berasa amat jijik melihat perlakuan rasuah. Rasuah ialah barah yang menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan.
“Forum Ekonomi Dunia tahun 2019, menamakan rasuah sebagai cabaran paling besar dihadapi anak muda. Generasi muda merupakan mangsa yang telah digelapkan masa hadapan mereka kerana perbuatan pemimpin yang rasuah,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, para pemimpin perlu membaca mesej rakyat secara tepat.
Titah baginda, setelah 65 tahun merdeka dan setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut menu dan resepi baharu dalam persekitaran politik yang juga baharu.-KOSMO! ONLINE