fbpx

Hilang dua anak, 20 hari sebelum Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Siti Nur Aisyah (belakang, dua dari kiri) dan Mohd. Nur Lokman (belakang, kiri) bersama keluarga.

JERANTUT – Hasrat seorang wanita untuk berkumpul bersama keluarga sebelum Ramadan tidak kesampaian apabila mang­sa maut selepas kereta Proton Saga dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Jerantut-Benta di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Siti Nur Aisyah Jamaludin, 27, maut bersama adiknya, Mohd. Nur Lokman, 23, yang memandu kereta tersebut.

Selain itu, sepupu mereka iaitu Mohd. Ikhwan Adam Azlan, 23, dan anak lelaki Siti Nur Aisyah, Mohd. Ruwaify Alaudin, 4, yang turut menaiki kereta sama pula cedera parah.

Bapa Siti Nur Aisyah, Jamaluddin Ahmad, 58, berkata, sebelum ini anak perempuannya itu telah merancang untuk berkumpul beramai-ramai bersama keluarga bulan ini memandangkan mereka sudah lama tidak berjumpa.

“Aisyah yang beria-ria me­rancang semua ini dan saya juga amat gembira kerana tidak sabar berjumpa dengan anak-anak serta ahli keluarga yang jauh dan dekat.

“Bagaimanapun, Allah le­bih menya­yangi arwah dan adik­nya. Saya hilang dua anak dalam sekelip mata, saya reda,” katanya sambil mengesat air mata ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Batu, Damak di sini semalam.

KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa selepas bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Jerantut-Benta, Jerantut kelmarin.

Dalam kemalangan itu, Siti Nur Aisyah yang berada di tempat duduk belakang kereta dipandu oleh adiknya, Mohd. Nur Lokman maut apabila sebuah lori yang hilang kawalan telah merempuh kereta mereka.
Mohd. Nur Lokman mening­gal dunia di tempat kejadian, manakala Siti Nur Aisyah mening­gal dunia di hospital.

Jamaluddin berkata, ketika kejadian, Siti Nur Aisyah bersama Mohd. Nur Lokman dalam perjalanan menghantar laksam dan kuih-muih ke Batu Sawar, Kuala Krau sempena persediaan majlis perkahwinan salah seorang ahli keluarga mereka.

Jamaluddin pada mulanya ingin menemani Siti Nur Aisyah ke Batu Sawar, tetapi pada saat akhir Mohd. Nur Lokman memin­tanya berehat di rumah sahaja.

“Lebih kurang 20 minit mereka meninggalkan rumah, tiba-tiba saya didatangi oleh seorang saudara kami yang memberitahu, anak saya mengalami kemala­ngan berdekatan Lata Kasah.

“Setiba di tempat kejadian bersama isteri, saya lihat Lokman tersepit di tempat duduk pemandu dan saya menyentuh tubuhnya yang sudah tidak ber­nyawa lagi,” ujarnya.

Jamaluddin berkata, cucunya, Mohd. Ruwaify Alaudin dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan akibat kecederaan di bahagian kepala, manakala sepupunya yang juga mengalami kecede­raan di bahagian rahang masih dirawat di Hospital Jerantut.

Jenazah Siti Nur Aisyah dan Mohd. Nur Lokman disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Koi, Damak di sini pada pukul 2.30 pagi semalam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI