PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui puas selepas menyaksikan pasukannya merekodkan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Kuching City pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Sarawak kelmarin.
Menurut Cheng Hoe, semua pemain tidak kira berada dalam kesebelasan utama atau dimasukkan sebagai pemain gantian telah memberikan sepenuh tenaga untuk memastikan pasukan meraih kemenangan kedua musim ini.
“Kami memang puas hati dengan keputusan ini walaupun agak sukar beraksi di tempat lawan. Namun, pemain telah menunjukkan disiplin yang baik dengan mengikuti arahan taktikal yang ditetapkan.
“Secara jujur, saya tidak sangka pasukan dapat meledak lima gol pada perlawanan ini tetapi apa yang berlaku menunjukkan semua pemain tidak kira dalam kesebelasan utama atau pemain gantian telah beraksi dengan baik.
“Pujian juga wajar diberikan kepada benteng pertahanan kami yang berjaya mengekang asakan lawan kerana kita tahu pasukan tuan rumah memiliki jentera serangan yang bagus,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi tersebut, skuad Gergasi Merah berjaya meraih gol hasil dua jaringan sumbangan Noor Al-Rawabdeh, Ayron del Valle, Brendan Gan dan penyerang muda, Danial Asri.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui pasukan tidak boleh terlalu mendabik dada kerana perlu berdepan dengan jadual padat dan bakal menentang Sri Pahang di laman sendiri pada aksi ketiga liga esok.
“Kita tidak boleh terbuai dengan prestasi semasa dan saya menuntut agar pemain terus mempamerkan konsistensi sepanjang kempen Liga Super musim ini.
“Masih terlalu awal untuk menilai momentum pasukan yang masih dilihat belum berada pada tahap 100 peratus selepas dua perlawanan kali ini,” katanya.