fbpx

China tewaskan Barat dalam ‘perlumbaan’ teknologi canggih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak melihat robot yang digunakan dalam pembedahan mengupas kulit telur di Persidangan Robot Dunia di Beijing pada 18 Ogos 2022. - AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat lain tewas kepada China dalam ‘perlumbaan’ bagi membangunkan teknologi canggih dan mengekalkan bakat dengan Beijing berpotensi mewujudkan monopoli dalam beberapa sektor, demikian menurut satu laporan baharu.

Akhbar The Guardian melaporkan, China mendahului 37 daripada 44 bidang teknologi yang dijejaki dalam satu projek selama setahun dijalankan sebuah firma pemikir, Institut Dasar Strategik Australia. 

Bidang tersebut termasuk bateri elektrik, hipersonik dan komunikasi frekuensi radio lanjutan seperti rangkaian 5G dan 6G.

Laporan yang diterbitkan kelmarin berkata, AS sebaliknya menjadi peneraju dalam hanya tujuh teknologi seperti vaksin, pengkomputeran kuantum dan sistem pelancaran angkasa lepas.

Tambahnya, penemuan itu adalah berdasarkan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang teknologi kritikal dan baharu muncul, memfokuskan pada kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal peringkat teratas serta telah dipetik oleh penyelidikan seterusnya.

“Penyelidikan kami mendedahkan bahawa China telah membina asas untuk meletakkan dirinya sebagai kuasa besar sains dan teknologi terkemuka dunia.

“Ia dilakukan dengan cara mewujudkan peneraju yang kadangkala menakjubkan dalam penyelidikan berimpak tinggi merentasi majoriti domain teknologi kritikal dan baharu muncul,” kata laporan tersebut.

Tambah laporan berkenaan, penjejak teknologi kritikal menunjukkan bahawa bagi sesetengah teknologi, kesemua 10 institusi penyelidikan terkemuka dunia berpangkalan di China.

“Secara kolektif, ia menjana sembilan kali lebih banyak kertas kajian berimpak tinggi daripada negara yang berada di kedudukan kedua (kebiasaannya AS),” jelasnya.

Akademi Sains China menduduki tempat pertama atau kedua dalam kebanyakan 44 bidang teknologi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI