KUALA LUMPUR – Al Ansar IBS PLT, kontraktor perumahan yang terlibat dalam pembinaan kediaman berasaskan kaedah inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS), melancarkan promosi Merdeka sehingga 31 Ogos ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, melalui promosi tersebut, syarikat mengunjurkan jualan sebanyak 20 unit pelbagai reka bentuk kediaman yang dapat memenuhi gaya hidup masyarakat masa kini.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan hasil kejayaan daripada promosi pemilikan kediaman berasaskan IBS yang diadakan pada bulan Mei lalu.
Al Ansar miliki pengalaman meluas
“Sambutan yang diterima sungguh menggalakkan, ini kerana keyakinan pelanggan terhadap integriti Al Ansar IBS PLT sebagai kontraktor bumiputera yang memiliki pengalaman selama 23 tahun dalam bidang hartanah di Malaysia
“Ditambah pula syarikat kami adalah antara kontraktor perintis teknologi IBS di Malaysia sejak 2016,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis penyerahan kunci kediaman kepada pelanggan bertuah syarikat di sini baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, pelanggan tersebut Mohd. Haizan Hashim telah menggunakan rekaannya sendiri bagi membina banglo yang memiliki enam bilik tidur dan tiga bilik air pada keluasan 2,400 kaki persegi.
Empat rekaan kediaman dilancar
Mengulas lanjut mengenai promosi Merdeka, Muhamad Khanafi menerangkan, terdapat empat rekaan kediaman yang diperkenalkan iaitu Imtiyaz, Teratai dan Sofea.
Tambah beliau, semua banglo tersebut mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan tawaran harga promosi bermula RM95,000 seunit.
Sebuah lagi rekaan kediaman diberi nama Maliha yang mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air ditawarkan pada harga RM205,000 seunit selepas diskaun.
“Terdapat 42 lagi rekaan di Al-Ansar malah mereka juga boleh mereka bentuk sendiri rumah idaman..
“Selepas tarikh tersebut, pelanggan masih menikmati hadiah merdeka bernilai RM10,000 termasuk lampu dan kipas untuk keseluruhan rumah, table top bersaiz enam kaki, satu unit pemanas air, cornice syiling ruang tamu, ruang keluarga dan ruang makan.
“Pelanggan juga bakal menikmati baucar insuran kebakaran bernilai RM500, perjanjian pembinaan, perkhidmatan sanitasi kediaman dan tiga botol cecair pembasmi kuman”, ujarnya.