TAPAH – Seramai 24 penumpang bas ekspres terselamat setelah kenderaan dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ladang Bikam arah utara dekat Bidor di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Amirul Haikal Syafiq Nordin berkata, sembilan anggota diatur gerak ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.19 petang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah bas ekspres yang terbakar di tepi jalan.
“Bas tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands. Pemandu dan 24 penumpang bas dalam keadaan selamat.
“Anggota mengambil masa kira-kira 30 minit bagi memadam keseluruhan kebakaran. Bas terbakar kira-kira 80 peratus dan kita masih menyiasat anggaran dan punca kejadian,” katanya.
Tambah beliau, operasi yang tamat pukul 5.30 petang itu dibantu BBP Slim River dan Tapah. – KOSMO! ONLINE