PUTRAJAYA – Kerajaan bakal mengumumkan perincian mengenai Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (Star) pada minggu depan bagi menangani isu kesesakan di hospital awam ketika ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, setakat ini, pihaknya baru mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat selain belum mempunyai sebarang perincian berkaitan.
“Kita baru ada sesi diskusi pagi tadi dan akan keluar kenyataan rasmi pada minggu depan sebab saya juga tiada maklumat secara lebih lengkap,” katanya pada pemberita ketika merasmikan Hari Terbuka Putrajaya 2023 di sini petang tadi.
Pada Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan penubuhan Star dengan cadangan penambahbaikan jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kerjasama pintar dengan sektor swasta.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Zuki turut menyifatkan Inisiatif Smart Putrajaya dilaksanakan Perbadanan Putrajaya (PPj) sejak 2018 sejajar teras strategik Malaysia Madani yang menjadi asas Kerajaan Perpaduan.
“Inisiatif itu berdasarkan Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya telah berjaya mencapai 70 peratus kejayaan pelaksanaannya pada hujung tahun lepas.
“Maka, amat bertepatan sekiranya saya menyatakan di sini bahawa Putrajaya hari ini adalah model kepada Malaysia Madani khusus dalam aspek perbandaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE