PARIT BUNTAR – Seorang tekong bot warga Thailand mengalami kecederaan parah setelah tangannya tersepit pada mesin penggulung pukat pada kedudukan 15.9 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada Jabatan Perikanan Daerah Taiping yang memaklumkan tentang kejadian tersebut.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan peronda APMM Zon Kuala Kurau telah diatur gerak bagi membantu tekong bot nelayan tempatan kelas C di lokasi tersebut.
“Sebaik tiba, mangsa, Channarong Jankaew,57, warga Thailand didapati cedera parah di bahagian tangannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa balik ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kurau dengan menaiki bot Kilat 30, sebelum dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk tujuan rawatan. – KOSMO! ONLINE