Oleh MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
SEREMBAN – Ibu bapa dan penjaga yang mengambil anak-anak mereka pulang dari asrama sekolah di Seremban membuat keputusan untuk membawa bersama semua barangan peribadi anak masing-masing.
Kebanyakan daripada mereka menjangkakan, tempoh penutupan sekolah akan lebih lama lagi berbanding arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan semalam iaitu bermula hari ini sehingga 9 November depan.
Tinjauan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, dekat sini, mendapati ibu bapa dan penjaga mula tiba di sekolah tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi.
Seorang bapa pelajar, Abdul Rahman Embong, 52, dari Semenyih, Selangor berkata, dia amat lega selepas kerajaan memutuskan untuk menutup semua sekolah di Seremban selepas berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 di daerah ini.
“Saya lega dengan tindakan dan keputusan awal ini dan sebagai ibu bapa sudah tentu kita bimbang dengan situasi semasa.
“Anak saya sekarang berada di tingkatan 4 dan saya meminta dia mengambil semua barang keperluan pelajaran seperti buku bacaan dan barang peribadi yang lain bagi persiapan awal. Sebab kita tidak tahu berapa lama lagi sekolah diarah tutup, mungkin ada penambahan lagi tempohnya,” katanya di sini hari ini.
Semalam, pihak Kementerian Pendidikan memaklumkan sebanyak 177 sekolah dalam zon merah di daerah Seremban ditutup bermula hari ini sehingga 9 November depan berikutan peningkatan kes Covid-19.
Menurut kenyatan yang dikeluarkan, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama terbabit untuk pulang, bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan kolej vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
Sementara itu, Abdul Rahman memaklumkan, dia perlu mendapatkan surat pengesahan merentas negeri dari Balai polis Beranang untuk mengambil anaknya di sekolah, hari ini.
“Saya keluar kira-kira pukul 9 pagi untuk ke Balai Polis Beranang memandangkan SMAP Labu berada di zon merah. Jadi polis minta saya melampirkan surah arahan sekolah tutup dari Kementerian Pendidikan beserta dengan surat pengesahan merentas negeri,” katanya.
Seorang lagi bapa pelajar, Fazmy Jaafar, 44, dari Bandar Seri Putra berkata, keputusan membenarkan ibu bapa membawa pulang anak mereka yaang berada di asrama ke rumah adalah langkah yang terbaik.
“Selepas sahaja Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan bahawa semua sekolah di Seremban ditutup, pagi ini saya terus bergegas ke untuk ambil anak saya pulang.
“Saya sebagai bapa sememangnya risau akan situasi yang berlaku sekarang. Tidak dapat jangka berapa lama lagi sekolah ni diarah tutup, jadi sebagai langkah awal dan berjaga-jaga saya bawa anak saya pulang, risau risiko kalau jadi apa-apa,” katanya.-K!ONLINE