WASHINGTON – Aplikasi perkongsian video, TikTok mengumumkan akan mengehadkan masa skrin harian kepada 60 minit secara automatik untuk pengguna di bawah umur 18 tahun dalam beberapa minggu akan datang, lapor akhbar Metro UK semalam.
Sekatan baharu tersebut adalah sebahagian daripada ciri standard yang dilancarkan oleh gergasi media sosial milik China itu untuk meningkatkan kesejahteraan remaja yang menggunakan aplikasi itu.
“Setiap akaun milik seseorang di bawah umur 18 tahun akan ditetapkan secara automatik kepada had masa skrin harian selama 60 minit,’ kata TikTok.
“Jika remaja-remaja memutuskan untuk mematikan had standard baharu ini dan menghabiskan lebih 100 minit menggunakan TikTok dalam sehari, kami akan menggesa mereka untuk menetapkan had masa skrin harian untuk diri mereka sendiri,” kata syarikat pengendali aplikasi tersebut.
Menurut TikTok, pada bulan pertama ujian tersebut dilakukan, pendekatan itu berjaya meningkatkan penggunaan alat pengurusan masa skrinnya sebanyak 234 peratus.
Pengguna-pengguna remaja juga akan mendapat pemberitahuan mingguan mengenai masa skrin mereka. – Agensi