KUALA LUMPUR – Amanah Raya Investment Management Sdn Bhd (ARIM), melalui anak syarikat Amanah Raya Bhd (Amanah Raya) menyasarkan peningkatan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak 20 peratus tahun 2023 daripada RM6.1 bilion yang direkodkan ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ARIM, Mohamad Shafik Badaruddin berkata sasaran itu adalah berpandukan beberapa dana baharu dan keadaan ekonomi negara serta global ketika ini selain ia turut diukur berdasar situasi lain antaranya kadar faedah.
“Jika kadar faedah terus dinaikkan, ia akan memberi sedikit cabaran kepada kami.
“Kami menjangkakan inflasi akan stabil tahun ini dan kadar faedah akan mencapai puncak separuh pertama tahun ini.
“Berdasarkan unjuran itu, kami yakin dapat mencapai sasaran. AUM yang tinggi ketika ini menjadikan ARIM antara syarikat pengurus dana terbesar di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran AmanahRaya Syariah Income Fund (ARSIF) di sini hari ini.
Majlis dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Pengerusi ARIM, Datuk Ramli Chik.
Dalam pada itu, sejak ARSIF diperkenalkan pada Mei tahun lalu, Mohamad Shafik berkata, sejumlah RM200 juta saiz dana telah direkodkan.
“Ia berdasarkan permintaan yang menggalakkan dari sektor korporat terhadap dana kita, kami turut mengunjurkan saiz dana akan meningkat kepada RM500 juta pada tahun ini,” ujarnya.
Pihaknya juga tidak menafikan sasaran berkenaan adalah tinggi, namun pihaknya tetap optimis dapat mensasarkan jumlah berkenaan dapat dicapai sehingga penghujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE